Video oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, anak panda seberat 150 gram itu dilahirkan pukul 7.50 pagi selepas 89 hari dari tarikh persenyawaan pada 18 Oktober tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, Malaysia akan berunding dengan China untuk mendapatkan hak penjagaan dan membesarkan anak panda gergasi tersebut yang perlu dihantar semula selepas tempoh dua tahun dibesarkan.

“Kita ada pilihan untuk menjaganya sebelum dihantar pulang. Walau bagaimanapun, kita masih mengkaji beberapa faktor seperti keluasan kawasan dan kos jagaan. Banyak perkara yang perlu difikirkan.

“Ini merupakan satu sejarah dan kejayaan dalam aspek penjagaan serta konservasi yang terbaik. Ia secara tidak langsung menunjukkan usaha Malaysia menjalankan pemeliharaan dan pemuliharaan panda berjaya,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Pengarah Zoologi dan Veterinar GPCC, Dr. Mat Naim Ramli.

Anak panda tersebut dilahirkan Liang-Liang iaitu salah seekor panda gergasi yang diberikan oleh China pada 2014 sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.


Video IHSAN ZOO NEGARA