Video ihsan PEMBACA UTUSAN

Mereka berpeluang beraksi di dewan berprestij bertaraf dunia yang menjadi ikon pencinta muzik itu setelah meraih anugerah emas dalam Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2017 selain meraikan penubuhan Comunity Youth Orchestras.

Kumpulan yang dianggotai 61 pelajar tingkatan satu hingga empat itu dengan Raja Muhammad Imran Raja Arif bertindak sebagai konduktor, di bawah bimbingan guru muzik, Azlina Zin bakal mempersembahkan dua buah lagu yang membawa kepada kemenangan SESMA.

Pengurus Orkestra Wind SESMA, Rosany @Niky Abdullah memberitahu, lagu yang akan diperdengarkan dalam konsert itu nanti ialah Tanah Pusaka dan Adventure Tale Of Neverland yang diolah secara kreatif untuk disesuaikan dengan corak persembahan.

"Ini suatu lagi detik bersejarah bagi pasukan kami setelah beberapa kali memenangi anugerah dalam festival tahunan ini, dan juga bagi sekolah serta negeri.

"Dalam konsert 'showcase' ini, kami akan beraksi bersama lima lagi pasukan yang turut meraih pingat emas," ujarnya berkait dengan perkembangan yang meletakkan orkestra SESMA dalam kelas tersendiri.

Beliau memberitahu, orkestra itu juga akan akan mengadakan persembahan buat julung kalinya di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nurzahirah dalam majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Sabtu ini. - UTUSAN ONLINE