Tinjaun Utusan Online sejak pukul 7 pagi lagi mendapati stesen-stesen utama seperti Kajang mula dipenuhi pengguna yang kelihatan ceria dan bersemangat menggunakan pengangkutan awam bertaraf dunia berkenaan.

Daripada gerak-geri kebanyakan pengguna memperlihatkan mereka tidak kekok menggunakan perkhidmatan tersebut meskipun masih baharu.

Bermula dari saat membeli tiket, melalui pintu keselamatan dan bergerak ke platform, semuanya berjalan lancar.

Kehadiran petugas-petugas MRT membantu pengguna yang berdepan masalah melancarkan lagi operasi pagi pertama fasa kedua MRT SBK.

Kakitangan swasta, R. Santhana, 45, berkata, MRT memberi dia lebih masa bersama keluarga.

Katanya, sebelum ini dia mengambil masa hampir sejam setengah untuk sampai ke rumah selepas kerja dan terpaksa keluar awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas bagi memastikannya sampai ke tempat kerja sebelum pukul 8 pagi.

“Sebelum ini sampai ke rumah lambat, kekadang tiada masa untuk bersama keluarga namun dengan penggunaan MRT beri ruang saya untuk sampai lebih awal.

“Jimat kos, jimat perjalanan itu sudah pasti. Saya boleh jimat hampir 60 peratus kos perjalanan saya setiap hari memandangkan saya terpaksa membelanjakan hampir RM1,000 setiap bulan,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Sementara itu, bagi Norsyam Lop, 40, dia mampu menjimatkan kos perjalanan sehingga 10 kali ganda untuk ke tempat kerja memandangkan dia terpaksa menggunakan ‘Grab Car’ untuk ke tempat kerjanya.

“Kalau naik Grab saya terpaksa bayar sampai RM12 untuk ke tempat kerja, sekarang saya hanya perlu bayar sekitar RM 1 hingga RM 2 untuk ke mana-mana lokasi yang saya mahukan,” ujarnya.

Manakala bagi pelajar, Ali Rahman Abdullah, 21, dia mampu sampai ke kelas 30 minit lebih awal selepas menggunakan MRT memandangkan sebelum ini perjalanan ke kolejnya mengambil masa selama sejam sekiranya menggunakan kereta. - UTUSAN ONLINE