Kesemua mereka tiba dari Madinah pada pukul 1 pagi dengan 11 buah bas dan ditempatkan di bangunan penginapan Abraj Al Janadriyah di Shuib Amir yang terletak di Zon A.

Ketibaan mereka disambut oleh Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurinanuwar Shamsuddin dan Pengarah Operasi Mekah, Datuk Ahmad Sohaimi Abd. Rahim.

Turut menyambut mereka ialah Penyelia Majlis Jemaah Haji Malaysia, Muassasah Tawafah Asia Tenggara, Emad Faisal Fatani.

Selepas solat subuh, jemaah akan dibawa mengerjakan umrah pertama yang akan dibantu oleh petugas maktab.

Syed Saleh dalam sidang akhbar berkata, selepas ini kemasukan jemaah dari Madinah akan lebih kerap dengan jemaah daripada tiga lagi penerbangan akan sampai ke Mekah hari ini.

Menurutnya, bagi penerbangan pertama, seorang jemaah yang sakit telah dibawa lebih awal ke Mekah pada waktu petang dengan ambulan dan dimasukkan ke hospital di sini.

“Pergerakan bas jemaah adalah pada pukul 2 petang, 6 petang dan malam. Saya harap kelancaran proses ini akan berterusan hingga operasi haji berakhir,” katanya.

Beliau memberitahu, kumpulan terakhir jemaah akan memasuki Mekah pada 15 Ogos dan sambutan adalah terpulang kepada pengurusan maktab masing-masing.

“Jemaah akan disambut tidak kira waktu mereka sampai. Petugas maktab serta perubatan sentiasa bersedia jika jemaah memerlukan bantuan mereka,” katanya.

Sementara itu Emad berkata, pihak muassasah akan memastikan keselamatan para jemaah haji Malaysia sepanjang mereka di tanah suci terutama semasa di Masjidilharam dan melontar di jamrah.

“Kami bekerjasama dengan Tabung Haji untuk memberi khidmat kepada jemaah,” katanya. - UTUSAN ONLINE