Kamarozaman

Presiden NUTP, Ka­ma­­rozaman Abd. Razak berkata, garis panduan berkenaan yang akan dimuatkan dalam Kod Etika Ibu bapa/Penjaga itu direka khas demi menjamin keselamatan murid di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Antara perkara yang dicadangkan oleh NUTP adalah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk Pengetua, Guru Besar atau pentadbir institusi jika mempunyai masalah dengan guru berkaitan anak mereka.

“Ibu bapa serta penjaga tidak dibenar membawa ma­suk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar ke­selamatan, manakala sekolah berhak menghubungi polis jika arahan tidak dipatuhi dan ibu bapa juga tidak boleh menyalah guna atau mesej bernada ancaman sama ada menerusi e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis lain, termasuk menerusi media sosial,” katanya dalam sidang akhbar khas berkaitan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang berlangsung di Wisma NUTP di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock.

Kamarozaman berkata, cada­ngan kod etika tersebut merupakan hasil perbincangan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Kesatuan Guru Sarawak dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama,beliau menggesa KPM melaksanakan Kod Etika Ibu bapa/Penjaga dengan segera yang akan menjadi panduan tata­cara kepada ibu bapa/penjaga ketika berurusan dengan pihak sekolah selain mampu memberi perlindu­ngan kepada guru dalam menguruskan hal disiplin dengan lebih berkesan.

Cadangan pelaksanaan kod etika berkenaan adalah berikutan kes seorang guru di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap yang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban bagi kesalahan mencederakan seorang murid tahun lalu, tetapi dilepaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.