Bukan hendak menafikan pembangunan sedia ada, namun rata-rata penduduk menyatakan rasa senang terhadap rumah yang diduduki kerana suasana ‘ala kampung’ dengan kehijauan pokok serta dikuatkan lagi oleh hubungan kejiranan erat yang terjalin di antara mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk PA Razak Mansion, Ibrahim Ahmad, 72, berkata, pelbagai nostalgia yang dirakamkan sepanjang hampir separuh abad blok-blok bangunan mula diduduki.

Beliau yang telah menetap kira-kira 25 tahun di situ berkata, walaupun mereka berbeza agama dan bangsa namun, mereka kini sudah bagaikan satu keluarga.

“Pada pandangan saya, rumah lama ini lagi bagus kerana kita walaupun duduk lama berjiran, macam-macam karenah daripada pelbagai bangsa, dapat diuruskan dengan baik. Tiada rasa takut dengan orang lain.

“Kawasan ini duhulu memang hebat dikenali sebagai kawasan hitam pada 1978. Pada masa itu di sini tiap-tiap hari ada orang bergaduh, berparang, tengah sengit dan hangat. Berpunca daripada orang mabuk (selepas minum arak) di kedai yang terletak di hadapan. Perkara ini dapat diselesaikan dengan permuafakatan,” katanya kepada Utusan Online di sini baru-baru ini.

Penghuni perumahan itu bakal berpindah ke projek perumahan rumah baharu yang berkonsepkan apartment, 1Razak Mansion yang terletak di belakang kawasan kediaman sedia ada di situ, bulan ini.

Pembinaan PA Razak Mansion yang dimulakan pada 1963 itu dirasmikan sepenuhnya pada 1967 oleh bapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Kunci rumah baharu tersebut akan diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri kepada penghuni yang layak pada 15 Mac ini.

Sebanyak 685 unit sedia ada di PA Razak Mansion mempunyai satu bilik tidur dan dua bilik tidur, masing-masing seluas 399 kaki persegi serta 504 kaki persegi.

Kediaman berkenaan akan digantikan dengan unit rumah baharu yang memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air yang berkeluasan 800 kaki persegi.

1Razak Mansion mempunyai 658 unit rumah, 23 kedai, 110 lot pasar berserta kemudahan seperti pejabat, dewan orang ramai, surau, pasar, tadika, pejabat persatuan penduduk, pondok polis dan bilik pengurusan mayat.

Infografik

Penduduk, Azni Saharin, 67, pula menyatakan rasa sedih buat dirinya dan keluarga untuk melangkah keluar meninggalkan kediaman yang telah didiami mereka sejak 1978.

“Rasa sedih hendak meninggalkan rumah yang lama. Walaupun bentuknya agak ketinggalan tetapi hati kami seronok tinggal di sini. Dengan keadaan udaranya dan dapat menghidu bau-bauan pokok terutama di waktu pagi.

“Apabila kena pindah, tidak tahulah apa yang hendak dikatakan. Mungkin sebagai orang lama, saya lebih suka tempat sebegini yang mempunyai sejarah dan lebih seronok untuk keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Azni turut mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya membina atau mengekalkan satu blok PA Razak Mansion sebagai simbol kenangan kepada penduduk yang telah lebih sedekad tinggal di kawasan perumahan tersebut.

“Kalau boleh, flat lama jangan diruntuhkan semua, tinggalkanlah satu untuk kenangan. Jadi bila pandang benda (blok) itu, kita dapat mengimbas kembali kenangan rumah lama Razak Mansion. Buatlah satu memorial kenangan dengan mencantikkan semula satu blok lama itu,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Madrasah al-Falahiah, Razak Mansion, Abdul Wahab Mohd. Isa, 68, berkata, PA Razak Mansion merupakan simbol perpaduan dalam kalangan penduduk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Saya telah menetap di sini lebih 30 tahun sejak 1978. Penduduk sama ada Melayu, Cina mahupun India bersatu dan boleh memberi kerjasama terutama ketika berdepan masalah seperti kecurian. Namun, saya agak sedih kerana apabila berpindah ke rumah baharu nanti, bukan semua daripada kami yang akan ke sana.

“Bagi yang mampu membuat pinjaman perumahan akan kekal di 1Razak Mansion tetapi bagi mereka yang tidak layak membuat pinjaman atas faktor usia, mereka pastinya akan berpisah kerana berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE