Mohd. Zamruni

Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai jadual padat sepanjang berada di bandar peranginan ini termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Tran Dai Quang setiba­nya di sini esok.

Duta Malaysia ke Vietnam, M. Zamruni Khalid berkata, selain menghadiri mesyuarat kali ke-25 ketua-ketua ekonomi APEC (AELM) itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin ter­tinggi Australia, New Zealand dan Papua New Guinea.

‘‘Dalam sidang kali ini, tidak ada isu khusus yang akan dibangkitkan kerana keutamaan negara anggota APEC termasuk Malaysia ialah memastikan Matlamat Bogor dalam pelaburan dan perdagangan bebas dapat direalisasikan pada tahun 2020.

‘‘Itulah juga yang menjadi tumpuan Malaysia selaku tuan rumah APEC 2020,’’ katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Perdana Menteri ke sini dan sidang APEC 2017 di Hotel Sheraton Danang hari ini.

‘‘Mencipta Dinamisme Baharu, Memupuk Masa Depan Bersama” menjadi tema APEC 2017 yang menetapkan sasaran untuk membincangkan bagaimana mengge­rakkan momentum pertumbuhan ekonomi APEC dan integrasi yang menyuburkan peluang-peluang daripada revolusi industri keempat, lantas membantu merealisasikan matlamat bersama ke arah komuniti Asia Pasifik yang aman, stabil, bersatu dan makmur.

Sepanjang sidang dua hari itu, Perdana Menteri akan terlibat dalam Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan dialog tidak rasmi di antara kerjasama itu dengan ASEAN, di samping dua sesi pemukiman.

Dalam sesi pemukiman pertama, ketua-ketua APEC akan membincangkan topik ‘Pertumbuhan inovatif, inklusif dan kemampanan pekerjaan dalam era digital’ manakala topik ‘Pemacu baharu bagi perdagangan, pelaburan dan perhubungan rantau’ akan dibincangkan dalam sesi kedua.

Sebelum menghadiri AELM, Perdana Menteri akan menyertai mesyuarat Kerjasama Perniagaan Amerika Syarikat-APEC yang akan memberi tumpuan kepada topik ‘APEC Pasca Wawasan 2020’ pada Sidang Kemuncak CEO APEC.

Perdana Menteri juga akan menyertai mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP-11) yang kini tanpa penyertaan AS.

Menurut Zamruni, kesemua 21 ketua kerajaan anggota APEC telah mengesahkan kehadiran masing-masing ke sidang kali ini yang bakal menentukan hala tuju perdagangan dan dasar globalisasi rantau Asia Pasifik.

Asia Pasifik menguasai separuh daripada perdagangan dunia dan menyumbang 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) global.

Selain Malaysia dan Vietnam, APEC dianggotai Australia, Amerika Syarikat, Brunei, Hong Kong, Indonesia, China, Chile, Filipina, Jepun, Korea, Kanada, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Rusia, Singapura, Taiwan dan Thailand. – UTUSAN