Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai jadual padat sepanjang berada di bandar peranginan ini termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam Tran Dai Quang setibanya di sini esok.

Duta Malaysia ke Vietnam, M. Zamruni Khalid berkata, selain menghadiri mesyuarat yang telah diatur sepanjang sidang, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin tertinggi Australia, New Zealand dan Papua New Guinea.

"Dalam sidang kali ini, tidak ada isu khusus yang akan dibangkitkan kerana keutamaan negara anggota APEC termasuk Malaysia ialah memastikan Matlamat Bogor dalam pelaburan dan perdagangan bebas dapat direalisasikan pada tahun 2020," katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Perdana Menteri ke sini dan sidang APEC 2017 di Hotel Sheraton Danang hari ini. 

APEC 2017 bertemakan, "Mencipta dinamisme baharu, memupuk masa depan bersama".

Menurut Zamruni, kesemua 21 ketua kerajaan anggota APEC telah mengesahkan kehadiran masing-masing ke sidang kali ini yang bakal menentukan hala tuju perdagangan dan dasar globalisasi rantau Asia Pasifik.

Asia Pasifik menguasai separuh daripada  perdagangan dunia dan menyumbang 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) global.

Selain Malaysia dan Vietnam,  APEC dianggotai Australia, Amerika Syarikat, Brunei, Hong Kong, Indonesia, China, Chile, Filipina, Jepun, Korea, Kanada, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Rusia, Singapura, Taiwan dan Thailand. - UTUSAN ONLINE