Lebih menarik, pasar raya terkenal itu turut menawarkan potongan harga untuk beberapa barangan terpilih yang berbeza untuk setiap minggu bagi memastikan pelanggan dapat menikmati kepelbagaian produk dengan harga yang sangat berpatutan.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, promosi itu adalah satu cara bagi syarikatnya membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutamanya untuk mendapatkan bekalan makanan asas yang mencukupi.

“Banyak perbincangan tentang kos sara hidup. Jadi kita terfikir, bagaimana kita boleh menolong pelanggan untuk mengurangkan kos sara hidup. Apa caranya?

“Kita ambil barang keperluan asas, contohnya beras. Untuk dua bulan ini, kita akan jual dengan harga RM22.95 (untuk 10kg). Harga asalnya pun sudah murah tapi untuk bulan ini, kita potong lagi harganya,” katanya ketika ditemui di Mydin USJ, dekat sini hari ini.

Selain beras yang diberi potongan harga sebanyak 11.7 peratus, promosi itu turut melibatkan minyak masak 5kg jenama Sejati yang dijual dengan harga RM15.95 dan ayam segar yang dijual hanya dengan harga RM5.89 setiap kilogram.

Selain itu, bagi promosi mingguan, Mydin menawarkan potongan harga bagi empat produk makanan segar bermula 19 hingga 25 April ini.

Empat produk tersebut ialah kobis bulat dengan harga RM1.00 sekilogram, ikan siakap (RM5.00 seekor), sotong (RM3.00 seekor) dan ubi kentang (RM1.00 sekilogram).

Pelanggan yang inginkan maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook rasmi Mydin Malaysia di pautan https://www.facebook.com/MydinMalaysia. - UTUSAN ONLINE