Video oleh SOFIAN BAHAROM & RASHID MAHFOF

Mustafar yang mengumumkan perkara berkenaan dalam majlis Amanat dan Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen berkata, menerusi NFCC, pihaknya akan menjalankan pelbagai bentuk operasi termasuk penjejakan audit serta rampasan hasil.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengamanahkan saya untuk pikul jawatan berkenaan dan surat pelantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi jawatan itu saya baru terima petang tadi.

"Buat permulaan, saya dilantik sebagai Ketua Eksekutif NFCC. Kewujudan pusat ini telah dinyatakan sebelum ini Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. Ia memerlukan gabung jalin tindakan serta satu rangkaian kerja dengan agensi-agensi lain," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Penubuhan pusat tersebut yang diumumkan sebelum ini akan digerakkan menerusi kaedah pelbagai agensi (multi agency).

Ia dilaksanakan dengan penyelarasan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Mustafar, 59, menambah, beliau akan memulakan perkhidmatannya di NFCC yang akan beroperasi di Kompleks Kerajaan Persekutuan Parcel D, di sini.

Ditanya tentang Jabatan Imigresen yang akan ditinggalkannya setelah berkhidmat dengan jabatan itu selama lebih dua tahun, Mustafar berkata, beliau menganggap seluruh warga imigresen sebagai keluarganya dan mengucapkan tahniah atas prestasi cemerlang mereka selama ini.

"Saya berharap siapa juga yang akan memimpin jabatan ini selanjutnya akan memperoleh kejayaan kelak," katanya. - UTUSAN ONLINE