Difahamkan SPRM hari ini memanggil bekas Ketua Menteri Sabah itu bagi mengambil keterangannya berhubung dakwaan isu rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Musa tiba pada pukul 11.45 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire bersama peguamnya, ketibaannya ditunggu petugas media yang berkumpul sejak pukul 8 pagi di pintu masuk ibu pejabat SPRM.

Pada Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak tergesa-gesa mengambil keterangan bekas Ketua Menteri Sabah itu berhubung dakwaan rasuah pada PRU-14.

Beliau berkata, pihaknya membenarkan Musa mendapat rawatan dan sihat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut.

Pada 23 Mei lalu, SPRM hadir di kediaman Musa di Sabah, namun mereka tidak dapat melakukan pemeriksaan kerana bekas Ketua Menteri Sabah itu tiada di rumah. 

Perkara itu dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam usaha membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14.

Jeffery sebelum ini disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan beliau menerima RM20 juta selepas PRU-14 daripada pihak tertentu.

Semalam, Musa merangkap bekas Pengerusi BN Sabah selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di hadapan Speaker, Datuk Syed Abas Syed Ali pada pukul 3.30 petang.-UTUSAN ONLINE