Terbaharu, perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh - Kajang (MRT SBK) yang bakal beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai ini menerusi laluan Sungai Buloh- Kajang pastinya akan terus menarik lebih ramai pelancong asing ke ibu negara.

Menerusi tinjauan yang dilakukan UTUSAN ONLINE semalam, rata-rata pelancong asing yang ditemui di sekitar ibu kota melahirkan rasa teruja dan gembira dengan perkhidmatan tersebut.

Menurut mereka, Malaysia terkenal dengan sistem pengangkutan awam yang baik oleh itu dengan pelaksanaan perkhidmatan Laluan SBK sejauh 51 kilometer itu bakal memudahkan lagi pelancong asing untuk mengunjungi destinasi popular di negara ini.

Seorang pelancong dari Jerman, Klaus Schmid, 74, berkata, sejak menetap di Malaysia lima tahun lalu, dia banyak menggunakan perkhidmatan LRT setiap hari kerana tidak mahu berdepan kesesakan lalu lintas.

“Saya dapati perkhidmatan awam di Malaysia semakin berkembang pesat dan canggih setanding dengan perkhidmatan awam yang disediakan di negara-negara maju lain.

“Walaupun belum pernah mencuba perkhidmatan MRT, saya yakin ia akan menarik lebih ramai pengguna khususnya pelancong asing untuk menggunakan perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Nany Hanifah, 19, dari Indonesia berkata, dia dan keluarga menggunakan perkhidmatan awam sejak berkunjung ke Malaysia empat hari lalu.

“Saya dapati perkhidmatan awam di Malaysia sangat efisien dan maju, jika berkesempatan mengunjungi negara ini di masa akan datang pasti kami sekeluarga akan mencuba MRT pula,” katanya.

Bagi Veronica Chang, 50-an pula, ramai kenalannya dari luar negara melahirkan rasa bangga dengan perkhidmatan awam yang disediakan di negara ini.

“Malah, mereka tidak sabar untuk menggunakan MRT kerana saya difahamkan ia lebih luas dan canggih. Saya juga tidak sabar,” katanya.

Serentak dengan pembukaan Fasa Kedua Laluan MRT, perkhidmatan bas perantara untuk stesen-stesen yang baharu turut dimulakan, sekali gus meluaskan liputan bas perantara yang disediakan oleh Rapid Bus Sdn. Bhd. kepada 23 laluan tambahan merentasi 12 stesen MRT yang baharu. - UTUSAN ONLINE