Lebih manis, kejayaan itu diirin­gi keupayaan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengendalikan sebanyak 272 pergerakan tren atau 117 peratus berbanding 232 ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham berkata, semua tren beroperasi tanpa sebarang masalah.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan kami berjaya menamatkan pergerakan B lebih awal,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pergerakan B merujuk kepada pergerakan konvoi tren membawa jemaah dari Mina ke Arafah.

Cabaran lebih besar bagi petugas MMMSL berlaku sebaik ma­suk waktu solat maghrib apabila pergerakan C bermula membabitkan membawa jemaah keluar dari Arafah untuk bermalam di Muzdalifah.

Hanya enam jam tempoh masa yang ada bagi membawa semua jemaah keluar dari Arafah ke Muzdalifah, sekali gus mematuhi syarat wajib haji.

Prasarana dianugerahkan kontrak mengendalikan operasi tren haji MMMSL selama tiga tahun bermula 2015.

Hampir 18,000 petugas terbabit sepanjang tujuh hari tren haji MMMSL beroperasi iaitu masing-masing 600 petugas dari Malaysia, 7,000 petugas sementara terdiri daripada warga tempatan, manakala baki merupakan anggota keselamatan dan petugas khas dari Arab Saudi.

Tren MMMSL sepanjang 300 meter yang berkemampuan membawa 3,500 penumpang atau 72,000 penumpang sejam diiktiraf sebagai antara tren metro paling padat dan sibuk di dunia. – UTUSAN