Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham berkata, syarikat itu yang kini di tahun terakhir kontrak pengendalian tren itu, juga mahu meninggalkan satu legasi dan memori manis yang akan dikenang oleh jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan itu pada musim haji ini.

Katanya, selepas diberikan kontrak itu pada 2015, Prasarana telah berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi, malah pada tahun lalu ia melebihi apa yang ditetapkan.

“Pada tahun lepas kita mencapai 110 peratus prestasi pergerakan tren dan 97 peratus tahap kepuasan penumpang dan pencapaian ini telah pun berada pada tahap yang tinggi untuk kita lepasi pada tahun ini.

“Bagaimana pun kita berharap kita mampu mengulangi prestasi tahun lalu dan mungkin mencapai lebih baik lagi,” katanya kepada media Malaysia ketika ditemui di pejabat pentadbiran MMMSL di sini, semalam.

Katanya, menerusi usaha gigih lebih 600 kakitangan Prasarana selain 7,600 kakitangan sementara, serta dibantu 9,500 anggota keselamatan Arab Saudi, beliau yakin operasi tren berkenaan akan berjalan lancar dan mencapai matlamat yang diinginkan.

Perkhidmatan tren haji MMMSL telah memulakan operasi tren haji pada pukul 4 pagi tadi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia).

Tren haji MMMSL akan beroperasi dalam bentuk lima pergerakan mengikut rukun-rukun haji.

Seramai 350,000 jemaah haji dari negara-negara Asia Barat dan Asia Selatan akan menggunakan perkhidmatan ini bagi melaksanakan ibadah haji.

Pihak berkuasa Kota Suci Mekah dan Prasarana menyediakan kira-kira 15,000 petugas bagi melancarkan operasi tren haji ini. - UTUSAN ONLINE

Video oleh HAMDEN RAMLI