Pastinya pada hari tersebut, rata-rata graduan mengenakan pakaian baharu sama ada mengenakan baju kebangsaan atau baju kemeja beserta tali leher bagi lelaki sementara untuk wanita pula mereka turut mengenakan pakaian kemas baju berlengan panjang dan labuh.

Setiap graduan yang melangkah naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah atau diploma pastinya merasa megah dengan pencapaian masing-masing serta mengidamkan gambar menarik dirakamkan pada hari istimewa itu untuk dijadikan kenang-kenangan.

Namun, situasi berbeza pula dialami oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sosiologi dan Antropologi), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Zahier Arbi apabila topi mortar yang dipakai di kepalanya tertanggal ketika bersalaman sebelum menerima skrol.

Video insiden berdurasi 31 saat pelajar Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan itu memaparkan Ahmad Zahier berdepan detik melucukan apabila topi mortarnya dua kali terjatuh ketika menerima skrol pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-33 yang berlangsung sejak Sabtu lalu dan berakhir hari ini.

Namun, ketika cuba kembali mengambil skrol, topi mortarnya sekali lagi terjatuh bersama skrol berkenaan namun graduan itu dengan keadaan gugup mengambil semula topi mortar tersebut sebelum berlalu pergi.

Menyedari skrol tidak bersamanya, Ahmad Zahier kembali mengambil ijazah berkenaan sebelum meninggalkan pentas.

Video dari MEDIA SOSIAL

Rakaman video berkenaan kemudiannya tular di media sosial selepas ditonton lebih 50,000 kali dan dikongsikan kira-kira 1,000 pengguna Facebook.

Pengguna Facebook, Noorshahira Khalib yang merupakan rakan sefakulti Ahmad Zahier melahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa graduan berkenaan.

Noorshahira mendakwa Ahmad Zahier mempunyai masalah rasa gugup sukar dikawal yang membawa kepada berlakunya kejadian tersebut.


“Kesiannya siapa yang tularkannya. Kami satu kuliyyah, dia memang jenis gugup yang susah hendak kawal.

“Dia memang jenis gugup teruk, rambut dia letak minyak rambut banyak sangat, jadi licin. Pakai topi mortar pun jadi mudah tercabut,” katanya menerusi ruangan komen dalam video yang tular di media sosial hari ini. - UTUSAN ONLINE