Pegawai Jabatan Meteorologi negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat punca gegaran tersebut, namun mengesahkan tiada gempa bumi yang berlaku malam ini.

"Kami tidak tahu apa puncanya, yang pasti tiada gempa bumi berlaku," katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, di laman sosial Facebook, beberapa pengguna mendakwa melihat satu cahaya seperti meteor atau tahi bintang di langit selama beberapa minit sebelum meletup dan mengeluarkan bunyi yang kuat.

"Ada yang nampak tahi bintang biru, merah warna dia, mungkin jatuh," kata seorang pemilik akaun bernama Maxeedar Lim Max.

Seorang lagi pengguna Jenius Sangir berkata, satu cahaya berwarna merah kelihatan di langit kira-kira dua minit sebelum hilang dan disusuli bunyi kuat seperti guruh.

Selain itu, beberapa pengguna turut mengandaikan letupan tersebut mempunyai kaitan dengan latihan ketenteraan melibatkan sebuah kapal perang dari Amerika Syarikat (AS) yang berlabuh di Sepanggar semalam.

Sehingga kini, Utusan Online masih belum berjaya mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa tentang insiden berkenaan.