Itu merupakan antara tujuan penganjuran Program Malaysia #QuranHour yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama membaca Al-Quran selama sejam secara serentak.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff berkata, dengan nilai murni dan kasih sayang yang diterapkan di dalam surah al-Quran diharapkan dapat melahirkan rakyat yang sayang negara dan negara yang sayang rakyat kerana Allah SWT.

“Berdasarkan pengalaman penganjuran program ini pada tahun 2013, ramai yang mula membaca al-Quran, namun tidak menerapkan nilai akhlak yang cuba disampaikan.

“Jadi, diharapkan dengan penganjuran program pada kali ini ia mampu menjadi ajakan kepada semua orang untuk membaca al-Quran yang akhirnya membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni berlandaskan al-Quran,” katanya ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan di sini hari ini.

Lebih 5,000 orang menjayakan program tersebut yang terdiri daripada para ustaz, ulama, tokoh, guru dan pelajar.

Program tersebut merupakan acara tahunan dan ini merupakan kali ketiga ia dianjurkan bertemakan Bangsa Berbudi dan Penyayang.

Majlis tersebut turut dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak. - UTUSAN ONLINE