Selain kedua-dua mereka, antara yang berprofil tinggi didapati berada dalam video tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam politik yang dilihat sebagai pro-Pakatan Harapan, Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana sejak dahulu lagi institusi kehakimanan dan perundangan negara amat sensitif dengan apa jua bentuk pergaulan sosial terutamanya para hakim yang mampu menggugat keyakinan masyarakat terhadap kehormatan, nilai etika, integriti dan adab susila mereka.

Apatah lagi jika melibatkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang bersosial dengan ahli-ahli politik dan individu berprofil tinggi yang pastinya boleh mengundang kontroversi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sebarang keputusan yang bakal mereka ambil kelak, kata Asyraf Wajdi.

"Pemuda UMNO melahirkan rasa amat kecewa dengan penularan video majlis sosial tersebut yang hakikatnya telah mencalar institusi kehakiman dan sistem keadilan negara.

"Terutamanya institusi Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang dilihat semakin hilang kredibiliti dan nilai integriti lantaran pencabulan etika dan prinsip konflik kepentingan yang mula dipersoalkan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam video yang berdurasi selama 40 saat itu, mereka tersebut dan beberapa lagi yang tidak dikenal pasti menari bersama di atas pentas utama dalam acara yang dipercayai majlis Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019. - UTUSAN ONLINE