Bertemakan Dunia Berbudi dan Penyayang, program tersebut berperanan sebagai platform membentuk solidariti ummah di seluruh dunia untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui pendekatan baca, faham dan amal selama sejam di hampir 3,000 lokasi seluruh Malaysia, 67 lokasi di 30 buah negara termasuk di Mekah dan Madinah.

Pengasas WQH, Datuk Husa­muddin Yaacub berkata, beliau yakin menerusi WQH akan terhasilnya tsunami al-Quran dalam tempoh 10 tahun lagi di mana roh Islam akan benar-benar dapat diterapkan dalam kalangan umat Islam.

“Sejak kita mulakan inisiatif ini semakin ramai orang yang belajar al-Quran di mana bukan sahaja bertadarus, namun turut memahami setiap surah dan pengajaran yang terkandung di dalamnya.

“Kita mahu budaya memahami dan memasukkan roh al-Quran dalam jiwa umat Islam dapat dijayakan, dalam tempoh 10 tahun lagi tsunami al-Quran ini akan dapat dijadikan kenyataan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program WQH di UIAM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Program tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Mohamad Nordin dan kemudian diikuti bacaan surah Ali Imran ayat 103 hingga 105 oleh bekas Presiden UIAM yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seterusnya ia diikuti dengan sesi solidariti mengaji yang memberi peluang setiap hadirin untuk membaca al-Quran sebanyak satu halaman seorang dalam tempoh lima minit dengan halaman yang dipilih adalah daripada setiap 604 halaman al-Quran mewakili keseluruhan 30 juzuk al-Quran.

Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul (WUIF), Fazrul Ismail mengadakan sesi tadabbur bagi menghayati surah Al-Hujurat berselang-seli dengan bacaan oleh 10 pembawa panji-panji surah Al-Hujurat.