Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd. Azmi Abdul Hamid, pemberian subsidi secara menyeluruh tanpa golongan sasar akan menjejaskan pengagihan ekonomi negara secara saksama.

"Pemberian secara 'blanket' (menyeluruh) akan meningkatkan jurang kualiti hidup.

"Jadi, kerajaan perlu mengkaji sepenuhnya golongan sasar yang sepatutnya menerima subsidi, sebagai contoh, golongan B40, kerana sedikit sebanyak ia membantu mengurangkan jurang kos sara hidup mereka dengan golongan M40," kata Mohd. Azmi dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Antara sektor yang dijangka akan disubsidi bagi golongan ini termasuk makanan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan utiliti.

"Jadi saya berharap kerajaan dalam belanjawan yang akan datang, dapat memuktamadkan perkara ini di samping tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu yang akan menjejaskan golongan sasar yang wajar menerima subsidi," kata Mohd. Azmi.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya mengikuti isu pemberian subsidi secara kritikal kerana jika ia dilakukan tanpa kajian dan pemahaman menyeluruh, dalam jangka panjang ia tidak sihat untuk pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut Mohd. Azmi, antara tanggung jawab MPPN adalah untuk mengangkat isu kos sara hidup, namun beliau terpanggil untuk memberikan komen berkenaan gaya hidup masyarakat masa kini yang lebih mengutamakan kemewahan.

"Tidak dinafikan, masyarakat kita kini umpama terbelenggu dengan trend berbelanja secara berlebihan dan mengutamakan jenama.

"Kita perlu menyedarkan masyarakat bahawa trend berbelanja sebegini tidak sihat, yang masyarakat perlu mengutamakan perkara asasi dalam hidup mereka dan bukan mengutamakan trend dan jenama," kata Mohd. Amin. - UTUSAN ONLINE