Jelas Perdana Menteri, dalam mengejar kemajuan dan pemo­denan, masyarakat tidak sewajarnya membelakangkan nilai-nilai murni yang membentuk jati diri bangsa termasuk budi pekerti, saling hormat-menghormati dan amalan gotong-royong.

Tegasnya, kedudukan Bahasa Melayu juga wajar dimartabatkan di samping bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain turut dikuasai untuk menjadikan masyarakat Malaysia lebih progresif.

“Aspirasi TN50 adalah untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara terbaik di dunia bukan sahaja dari segi GNI (pendapatan negara kasar) per kapita serta kecanggihan teknologi tetapi juga ketinggian budaya dan moral,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Budaya 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia yang juga Pengerusi Kongres Budaya 2017, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.



Dalam konvensyen berkenaan, Perdana Menteri turut menerima resolusi kongres tersebut yang diserahkan oleh Rais.

Menurut Najib, beliau amat menghargai penganjuran kongres itu yang penganjurannya kali pertama pada tahun 1971 dirasmikan oleh ayahnya yang juga Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.

“Saya dan kerajaan akan mengambil serius pandangan serta cadangan daripada resolusi kongres ini," katanya.

Menurut Perdana Menteri, meskipun induk dan asas budaya masyarakat Malaysia adalah bangsa Melayu, bumiputera dan agama Islam, budaya bangsa-bangsa lain tidak dihalang daripada diamalkan.

“Kita menghormati amalan dan budaya lain, ini adalah keunikan Malaysia yang tidak terdapat di mana-mana negara, saya menganggap ini bukan sahaja unik tetapi sebagai satu kekuatan jika diletakkan sebaik-baiknya,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, bahasa Melayu perlu dikuasai dan ditutur de­ngan baik oleh setiap warganegara ini kerana Bahasa Kebangsaan merupakan kunci utama untuk perpaduan nasional.

Katanya lagi, Rukun Negara juga wajar dihidupkan dengan lebih berkesan peranannya untuk falsafah pendidikan serta pegangan setiap rakyat negara ini.

“Kita boleh mengambil Jepun sebagai contoh, bagaimana sebuah negara yang hancur selepas Perang Dunia Kedua boleh bangkit maju namun kehidupan budaya tinggi masih dikekalkan,” ujarnya.

Jelas Najib, ancaman-ancaman moral daripada media sosial yang mampu menghakis budaya murni perlu diambil perhatian serius dan ditangani sebelum menjadi lebih parah.

Najib Tun Razak melihat Resolusi Kongres Budaya 2017 dalam  Majlis Perasmian Kongres Budaya 2017 di Universiti Kebangsaan Malasia (UKM), Bangi, semalam. Yang turut hadir, Rosmah Mansor dan Rais Yatim.

Tun Abdul Razak   hussein diiringi timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman  ketika hadir merasmikan Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada tahun 1971.