Masak dengan penuh kasih sayang
Nisa Bakri

Minatnya yang mendalam dalam bidang masakan dan sering menjamu rakan-rakan ketika berkunjung ke rumahnya mendorong Nisa untuk menceburkan diri dalam bidang masakan secara serius.

Malah, beliau juga lebih selesa memasak sendiri ketika melancong ke luar negara.

Mula berjinak-jinak dengan program masakan tempatan sejak dua tahun lalu, beliau kini sudah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Terbaharu, beliau menjalani penggambaran rancangan masakan untuk program masakan di Dubai.

Katanya, program 10 episod yang akan ditayangkan pertengahan tahun ini adalah usahanya dalam mempromosikan makanan, kemahiran, ilmu dan resipi masakan Melayu ke peringkat antarabangsa.

“Saya juga sedang menjalani penggambaran bagi rancangan masakan di Jakarta pula, kalau boleh saya mahu masakan Melayu ini dikenali di seluruh dunia.

“Jika kita lihat, di peringkat antarabangsa semua orang kenal masakan Cina, India dan sebagainya, tapi masakan Melayu sangat kurang,” ujarnya yang ditemui di Bukit Jalil di sini baru-baru ini.

Tidak pernah mengikuti mana-mana kelas masakan apatah lagi mendapat pendidikan formal dalam bidang tersebut, kemahiran Nisa dalam memasak boleh dibanggakan kerana bukan mudah untuk wanita Melayu dijemput untuk terlibat dalam rancangan masakan di luar negara.

Nisa berkata, apa yang dilakukannya kini adalah bersandarkan pada pengalaman serta ilmu yang diperturunkan oleh ibu kepadanya dan sedikit sebanyak ditambah baik.

“Apa yang penting kita mestilah memasak dengan penuh kasih sayang dan ikhlas insya-Allah makanan itu sedap dan disukai ramai,” katanya.

Selain terlibat dengan program masakan, Nisa juga pernah mengeluarkan buku resipinya pada tahun 2015 yang bertajuk ‘I Am Not A Chef’.

Katanya, idea untuk menulis buku resipi itu tercetus apabila rakan-rakan sering memintanya resipi setiap kali memasak.

“Tajuk I Am Not A Chef dipilih kerana saya tidak pernah menganggap diri ini sebagai chef, saya hanyalah tukang masak dan sehingga hari ini Alhamdulillah kawan-kawan, keluarga dan suami semua menggemari masakan saya.

“Bertitik tolak daripada situlah saya mula menulis buku resipi itu,” katanya.

Telah terjual 1,000 naskhah sejak ia dilancarkan, Nisa sedang dalam proses menyiapkan buku resipi keduanya, yang juga mempunyai tajuk yang sama namun dengan ‘isi’ yang lebih menarik.

Kata ibu kepada seorang anak ini, pengisian buku resipinya kali ini turut diselitkan dengan menu-menu kesihatan.

“Dalam buku resipi kedua saya ini, saya masukkan menu bagi wanita yang sedang berpantang.

“Selain itu ada juga beberapa kenalan yang tanya kepada saya ‘why don’t you keluarkan resipi untuk golongan ‘body builder’, maka terhasillah resipi bagi golongan ini juga,” katanya bersahaja.

Memasang strategi untuk mengembangkan perniagaan dalam dunia masakan, beliau yang mempunyai produk kambing salai bercadang memasarkannya ke Dubai, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Nisa yang juga isteri kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin berkata, produk tersebut akan berada di pasaran Indonesia selewat-lewatnya Mei ini.

“Saya juga sedang dalam proses mengeluarkan 12 lagi produk antaranya asam pedas daging salai, kari makanan laut, kari kambing, ayam masala, kari daging, dan kari vegetable bagi pengamal diet vegetarian.

“Bagaimanapun nama-nama produk tersebut masih dalam perbincangan dan Insyaallah akan berada di pasaran pertengahan tahun ini. Saya berharap produk-produk itu nanti mendapat respon yang positif bukan sahaja Malaysia malah antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Video oleh MOHD. FIKRI FADZIL