Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, operasi SAR itu dilancarkan serentak kerana kedua-dua kejadian berlaku di kawasan perairan yang sama.

“Operasi pencarian mangsa warga Thailand yang dikhuatiri jatuh bot itu telah masuk hari kedua. Kes ini berlainan dengan enam pemancing tempatan yang dilaporkan hilang awal pagi ini tapi kita jalankan operasi serentak selepas mengambil kira kawasan pencarian.

“Kawasan pencarian diperluaskan ke 170 batu nautika dan yang terbaharu, pagi tadi kita sudah menghantar helikopter untuk meninjau kawasan tersebut. Buat masa ini usaha pencarian sedang giat dijalankan namun belum ada perkembangan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.

Hari ini, media melaporkan seramai enam pemancing yang menaiki sebuah bot fiber berjalur merah, biru dan hitam dikhuatiri hilang di perairan Pulau Pinang selepas tidak pulang sejak keluar pagi semalam.

Mereka adalah Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, Mohd Azmil Abdul Rahman, 31; Mohd Faiz Ibrahim, 30; Lee Chee Sen, 49; Mohd Rajis Jamil, 35; dan Khairil Hafidzi Tajuddin, 31.-UTUSAN ONLINE