Dalam kunjungan itu, Utusan Online bertemu dengan sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi buruh haram di ladang buah-buahan.

Dua daripada mereka berkongsi pengalaman menjadi mangsa eksploitasi serta menyaksikan sendiri bagaimana ramai rakyat Malaysia terjebak dalam putaran ganas lintah darat.

Kisah penderitaan di negara asing tanpa pembelaan ini adalah satu realiti, bukannya ditokok tambah.

“Kami bekerja macam hamba abdi,” kata buruh haram pertama yang berusia awal 20-an.

Dia memasuki Australia melalui Perth sebelum melarikan diri ke Melbourne dalam mengejar ‘Impian Australia’ sebelum ditipu beberapa lagi subkontraktor.

Dia juga pernah melarikan diri di tengah malam untuk mencari kerja di tempat baharu dengan cabaran baharu.

“Di Perth, duduk dalam stor pernah, duduk dalam kabin yang atapnya bocor, malam-malam tidur, hujan... air jatuh atas badan, dengan cuaca suhu negatif (darjah Celcius)

“Duduk rumah, tidur di dapur pernah, satu rumah tu sampai ada 15, 16 orang, memang sendat,” katanya.

 

Buruh haram kedua pula sudah beberapa tahun di Australia dan dia kerap membantu rakyat Malaysia yang terjerat dalam penipuan dan penindasan.

Antara yang pernah dibantu adalah beberapa kumpulan rakyat Malaysia yang tidur di dalam hutan di Robinvale.

Kumpulan berkenaan sudah beberapa bulan bekerja tetapi pendapatan mereka masih negatif setelah ditolak kos sewa rumah, makanan dan hutang daripada subkontraktor.

“Politik dia adalah nak kurangkan pekerja dan dia cakap ada imigresen datang dan mereka diminta tidur dalam hutan,” katanya.

Dia berpendapat, eksploitasi itu semakin menjadi-jadi apabila rakyat Malaysia sendiri berebut-rebut menjadi subkontraktor, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

“Masing-masing nak duit lebih tapi tak boleh jaga budak, ada yang berbelanja lebih sampai tak bayar gaji budak.

“Dia bagi alasan pemilik ladang tak bayar, di sini tak mungkin pemilik ladang tak bayar,” katanya. - UTUSAN ONLINE