Selaras dengan penganjuran kempen itu, Utusan Malaysia bersama-sama sembilan agensi media utama tempatan bergabung tenaga membentuk sinergi dalam memperluaskan promosi kempen berkenan yang melibatkan pembacaan, pemahaman dan inte­raksi mengenai al-Quran.

Kempen anjuran Yayasan Wa­risan Ummah Ikhlas dengan kerjasama semua media utama tempatan itu secara rasminya akan bermula di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, bermula pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub berkata, penganjuran MALAYSIA #QuranHour itu me­rupakan kesinambungan kejayaan kempen WORLD #QuranHour yang dilaksanakan pihaknya bersama agensi-agensi media tempatan pada September tahun lalu sehingga mendapat sambutan lebih dari 50 buah negara dunia.

“Setiap media di Malaysia ada kekuatan masing-masing dan apabila semuanya bergabung, kita mampu mewujudkan gelombang yang luar biasa bagi menjayakan kempen MALAYSIA #QuranHour ini bagi mengalakkan umat Islam mendekati serta memahami al-Quran sekali gus menjadikannya sebagai sistem operasi dalam hidup masing-masing,” katanya.


Video oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan pemeteraian kesepakatan media utama tempatan sempena pengajuran kempen MALAYSIA #QuranHour di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Utusan Malaysia diwakili Pengarangnya, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengurus Jabatan Pengarang Utusan, Ainol Amriz Ismail.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang; Ketua Pengarang Kumpulan Astro Awani, Suhaimi Sulaiman; Pengarang Berita Kanan II Kosmo!, Samsor Junet dan Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff.

Hussamuddin dalam pada itu memberitahu pihaknnya bersama agensi media tempatan akan turut meneruskan kempen WORLD #QuranHour pada tahun ini pada 9 Zulhijjah 1438 atau 31 Ogos 2017 secara serentak di seluruh dunia bermula pukul 12 tengah hari hingga 1 petang bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, selebriti, Datuk Rosyam Noor yang merupakan duta kedua-dua kempen ber­kenaan menegaskan kepentingan memahami al-Quran yang mana ia bukan sahaja satu kewajipan bagi umat Islam tetapi panduan utama dalam kehidupan.

“Kempen ini (MALAYSIA #QuranHour dan WORLD #Quran­Hour) akan membuka ruang kepada semua pihak untuk mendekati al-Quran yang membawa kepada perpaduan dan keamanan kepada seluruh umat manusia.

“Kalau tahun lalu saya berjalan kaki dari Karangkraf ke UIAM sempena kempen WORLD #Quran­Hour, kali ini saya berhasrat untuk melakukan perkara yang sama dengan skala penyertaan yang lebih besar,” ujarnya.

inforafik :

1. Kempen MALAYSIA #QuranHour :

- Diadakan pada 19 Jun 2017 bermula pukul 12 tengah hari - 1 petang.

- Diadakan secara serentak di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

- Diadakan selama 1 jam melibatkan tadabbur dan tazakkur (20 minit), solidariti bacaan (10 minit), talaqi (20 minit), seruan tindakan (5 minit) dan doa (5 minit).

2. Kempen WORLD #QuranHour :

- Dijangka diadakan serentak seluruh negara dunia pada 31 Ogos 2017 (9 Zulhijjah 1438).

- Bermula di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.

- Mula dilaksanakan pada 11 September 2016 dan mendapat penyertaan 50 buah negara.

- Pada tahun 2016, kempen mendapat sambutan luar biasa di peringkat dunia melalui media sosial dengan mendapat 208,000 reaksi, 33,000 makluman, 87 juta impresi, 16,000 perkongsian,32,000 tweet dan 26,000 retweet.