Beliau berkata, dalam pertemuan bilateral bersama Perdana Menteri India, Narenda Modi, mereka berdua bersetuju agar latihan udara dijalankan bersama tentera udara kedua-dua negara terutamanya dari segi penugasan taktikal pesawat Sukhoi.

“Perdana Menteri Modi mencadangkan kita ada platform yang hampir sama iaitu pesawat Su­khoi, mereka pun ada Sukhoi, jadi dalam perjalanan balik atau pergi ke Australia mereka boleh singgah di Malaysia untuk mengadakan latihan bersama kita.

“Saya telah bersetuju supaya latihan udara bersama itu dilakukan kerana mereka ada pengalaman dari segi penugasan taktikal dan kita hendak melihat bagaimana mereka boleh bantu dalam penyelenggaran dan kebolehgunaan Sukhoi,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India sempena Ulang Tahun Ke-25 Dia­log ASEAN India yang berakhir hari ini.

Najib juga mengharapkan kerjasama antara angkatan laut ke­dua-dua negara terutama sekali dalam program kapal selam ke­rana India juga mempunyai kapal selam Scorpene yang sama se­perti Malaysia.

Menurutnya, keupayaan Scorpene diakui yang terbaik sehingga mendorong angkatan laut India membelinya.

“Bila pembangkang kata kapal selam tak boleh selam, (ini) me­ngarut kerana India pun beli dan banyak negara lain pun beli,“ katanya.

Katanya, secara spesifik, Modi amat tertarik kepada program-program deradikalisasi yang telah Malaysia lakukan sehingga mencapai tahap kejayaan yang amat tinggi.

Justeru kata beliau, rakan sejawatannya itu mencadangkan agar satu persidangan diadakan mengenai deradikalisasi di mana Malaysia akan dijemput menjadi hos bersama kepada persidangan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai pertemuannya itu, Najib berkata, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Modi atas kejayaan India mencatat kepesatan ekonomi yang paling berkembang di dunia dalam masa dua tahun akan datang.

“Barangkali juga dalam sejarah politik India di mana parti BJP dapat menunjukkan kekuatan, kemantapan dan atas konsolidasi yang mereka lakukan ini bererti lebih mudah untuk India membawa pembaharuan dan perubahan struktur dan mencapai kadar pertumbuhan lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN