Jelas beliau, sebagai tetamu, David sepatutnya menjaga kata-kata serta tingkah laku tanda menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tuan rumah yang telah menjemput mereka menghadiri program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan), di Dewan Bankuet, Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Kata pelawak veteran berkenaan, tindakannya itu bukan berniat jahat apatah lagi mahu mencederakan David tetapi untuk menghentikan pengarah berkenaan dari terus bersikap biadap.

Tambah Sulaiman, tuduhan yang mengatakan dirinya menampar David juga tidak berasas kerana dia tahu batas-batas perundangan dan sedar implikasi yang bakal dihadapi jika mencederakan pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) itu.

“Memang saya berasa marah melihatkan sikap David yang tidak menghormati Perdana Menteri sebagai tuan rumah dan majlis yang sedang berlangsung.

“Saya bertindak kerana melihat dia terus bersikap sebegitu walaupun telah diberi peluang oleh pengacara majlis, Datuk Rosyam Noor, untuk bercakap,” jelas Sulaiman kepada Utusan Online ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Sulaiman berkata, setiap rakyat Malaysia tidak kira bangsa telah diajar sejak kecil untuk menghormati orang lain apatah lagi sewaktu berhadapan dengan pimpinan walau sekecil mana sekalipun jawatannya menjadikan sikap Davida pada program berkenaan satu perkara yang tidak boleh diterima oleh sesiapa sekalipun.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, dirinya dan David tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak mempunyai masalah peribadi.

Tambah beliau, insiden yang berlaku itu merupakan satu kejadian spontan dan bukannya dirancang seperti mana yang didakwa oleh banyak pihak.

“Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam hal ini dan tidak mendapat apa-apa keuntungan yang boleh mendorong diri untuk bertindak sebegitu.

“Tindakan saya adalah reaksi spontan untuk menegur perilaku yang tidak sewajarnya ditunjukkan terhadap Perdana Menteri,” jelas beliau.

Insiden kekecohan antara Sulaiman dan David bermula ketika pengarah berkenaan cuba bertanyakan soalan pada sesi program dialog tersebut.

Ketika itu, David dilihat bertegas mahu bertanya kepada moderator dialog, iaitu pelakon, Datuk Rosyam Nor sehingga menimbulkan ketegangan menyebabkan Mat Over datang dari belakang pentas menuju ke arah David lalu menolaknya.

Bagaimanapun, sengketa antara mereka tidak berpanjangan kedua-duanya dilihat bersalaman dan berdamai beberapa ketika selepas insiden berkenaan.

Dalam masa sama, David, dalam laporan-laporan akhbar awal ini bagaimanapun telah memaklumkan tidak akan mengambil sebarang tindakan perundangan terhadap Sulaiman. - UTUSAN ONLINE