Video ihsan MEDIA GAMIS

Laungan itu bergema di perkarangan pusat beli-belah Sogo, di sini hari ini apabila kira-kira 100 mahasiswa berkumpul bagi menyatakan protes mereka terhadap kontroversi kelayakan akademik palsu beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini.

Protes anjuran gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) itu bermula dengan perarakan peserta dari Masjid Jamek, di sini sehingga ke perkarangan pusat beli-belah Sogo dan diakhiri dengan gimik mengoyakkan replika sijil sebagai simbolik menolak penipuan.

Presidennya, Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin berkata, perbuatan sesetengah pemimpin yang didakwa memalsukan kelayakan akademik seolah-olah ingin memperbodoh rakyat.

“Integriti mereka sebagai wakil rakyat perlu dipertikaikan. ini yang menyebabkan kami kecewa.

“Kami mahasiswa dari setiap kampus hari ini belajar untuk menjadi pemimpin masa hadapan tetapi mereka memperalatkan ijazah tersebut, memalsukan ijazah semata-mata inginkan kekuasaan. Satu perkara yang sangat memperbodohkan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isu penggunaan sijil akademik palsu mendapat perhatian umum berikutan pendedahan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) didakwa memiliki sijil berkenaan.

Sebelum ini, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui.

Malah, terdapat beberapa pemimpin PH dikaitkan dengan isu sama antaranya sijil yang dimiliki Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin. - UTUSAN ONLINE