Beliau berkata, sejajar dengan dasar kerajaan merangka Transformasi Nasional 2050 (TN50), soal keselamatan makanan amat penting untuk diambil kira bagi memastikan makanan mencukupi untuk generasi akan datang.

Beliau menjelaskan, negara dijangka mengimport lebih ba­nyak makanan berbanding pada masa ini berjumlah RM18.1 bilion jika usaha gigih untuk menjamin bekalan makanan mencukupi tidak dilaksanakan.

“Untuk menjadi sebuah negara maju bukan sahaja kemajuan dalam infrastruktur seperti membina bangunan pencakar langit, tetapi ia turut diukur dari segi pendapatan dan fizikal rakyat. Kalau nak tengok program Malaysia pada tahun 2050, semestinya lebih besar daripada tahun 2016.

“Kita juga mahu menggalakkan anak muda menceburi bidang pertanian, kita tidak mahu bidang ini dianggap tidak popular, nak bekerja di pejabat berhawa di­ngin sahaja, kalau ada sikap sedemikian, maka bidang ini hanya akan ditangani oleh orang lebih ber­umur dan lama-kelamaan (bidang) ini akan pupus, ini cabaran amat besar,” katanya.

Beliau berucap merasmikan MAHA 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini. Yang turut ha­dir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Najib berkata, pameran dwitahunan itu juga merupakan pentas dan platform berguna kepada golongan petani, penternak dan nelayan termasuk pembeli sekali gus layak diiktiraf sebagai produk pelancongan domestik.

Menurut beliau, pameran yang bermula 1 hingga 11 Disember ini menjadi lokasi sehenti segala produk pertanian dan perikanan selain menyediakan unsur-unsur ilmu berguna kepada golongan muda terutama mereka yang tinggal di bandar apabila mereka tidak terdedah dengan pelbagai jenis tanaman yang jarang dilihat mereka.

“Apa yang saya saksikan MAHA telah melalui proses evolusi dan sehingga hari ini telah mencatatkan jenama yang begitu popular dalam kalangan masyarakat.

“Lihatlah sahaja pengunjung yang datang kali ini begitu besar dan setakat ini mencatatkan 700,000 orang sekali gus diyakini mampu mencapai sasaran tiga juta dalam tempoh pameran ini berlangsung,” katanya.

Perdana Menteri yang sebelum itu melakukan tinjauan di sekitar MAHA turut merasmikan pame­ran buah-buahan, Castle of Fruits di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan melancarkan penghasilan kuih bingka jagung terbesar sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records (MBOR).

Bingka jagung itu dihasilkan daripada 1,400 tongkol jagung, 210 kilogram (kg) tepung, 168 kg gula, 140 kg santan pekat dan 2,520 biji telur.