Menteri Pertanian dan In­dsutri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata madu jenis ini mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara tetapi negara masih belum mampu memenuhi permintaan tersebut.

“Ini cabarannya untuk kita mengeluarkan madu ini mengikut piawaian dan pengawalan mutu yang tertentu, justeru dengan penganjuran program Kelulut Walk 2016 mampu membuka lembaran baru penjenamaan madu kelulut dalam dimensi komersial yang mampu memberi pulangan lumayan kepada penternak kelulut,” katanya.

Menurutnya, jika di luar negara madu manuka yang dikomersialkan oleh New Zealand dan Australia mampu menjadi satu jenama yang amat sinonim sebagai madu berkualiti tinggi.

“Kenapa tidak untuk Malaysia menjenamakan madu kelulut bagi pasaran dan terkenal di arena global,” jelasnya.


Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, negara sangat menyokong usaha pejalan kaki solo, Sabri Ali mempromosi madu kelulut sebagai makanan yang digelar sebagai superfood.

“Program Kelulut Walk 2016 merupakan program untuk memartabatkan madu kelulut sebagai sumber makanan yang berkhasiat tinggi.

“Mewakili pihak kementerian, kita menyasarkan agar madu kelulut mendapat permintaan yang lebih tinggi yang tidak sahaja untuk pasaran tempatan malah untuk pasaran di luar negara,”katanya.

Menurutnya, bagi mencapai hasrat ini, program Kelulut Walk 2016 merupakan platform terbaik untuk mempromosi madu kelulut dengan melantik Sabri sebagai duta program tersebut.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, madu kelulut mempunyai nilai perubatan yang tinggi, ia mempunyai elemen antioksidan yang kandungannya lebih baik daripada madu lebah,” katanya.