Ditubuhkan tahun lalu, JDS kini bekerjasama dengan syarikat Sepanyol, Night Vision Lassers Spain (NVLS) yang mempunyai kepakaran dalam industri teropong penglihatan malam bagi tujuan pertahanan.

Pengurus Besar JDS Ir. M Ariff Daud berkata, syarikat tersebut bakal menjadi pusat penyelengaraan dan membaik pulih produk NVLS di Kuala Lumpur.

“Kita telahpun melengkapkan pusat yang terletak di tingkat lapan Jakel Mall di Kuala Lumpur. Pusat ini bakal menjadi pusat penyelengaraan di Asia Tenggara untuk pelanggan di Brunei, Filipina dan Thailand.

“Jadi mereka tidak perlu menghantar peralatan keluaran NVLS ke Madrid, Sepanyol untuk diselengara atau diperbaiki,” kata M. Ariff.

M. Ariff berkata, pusat itu mampu menyelengara dan membaiki peralatan NVLS kurang tiga minggu berbanding jika dihantar ke Sepanyol yang mengambil masa lebih 20 minggu,

JDS kini dalam usaha untuk menjadi pembekal peralatan NVLS bagi penjualan di Malaysia. Peralatan NVLS turut digunakan oleh pasukan pertahanan dan keselamatan negara termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

M. Ariff ditemui di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA) di sini hari ini. JDS buat julung kali menyertai LIMA’17 dan membuka ruang pameran bagi menarik lebih ramai pelanggan tempatan dan antarabangsa.

Selain NVLS, Jakel Defence Systems turut bekerjasama dengan beberapa syarikat antarabangsa lain yang turut terlibat dalam pengeluaran produk pertahanan dan ketenteraan. - UTUSAN ONLINE