Kapal berusia 25 tahun ini akan dikendalikan oleh Maritim Malaysia dan akan beroperasi di bahagian wilayah timur bagi menjaga keselamatan Laut China Selatan.

"Tahun ini merupakan ulangtahun ke-60 hubungan baik antara Malaysia dan Jepun, dan pemberian kapal ini sekaligus mencerminkan hubungan bilateral yang kukuh," kata Najib.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Segala kerja ubahsuai kapal ini bagi memenuhi keperluan operasi Maritim Malaysia turut ditanggung oleh kerajaan Jepun, dengan anggaran sebanyak RM28 juta bagi dua buah kapal.

Sebuah lagi kapal dijangka tiba di tanah air sama ada pada bulan Mei atau Jun ini.

Kapal sepanjang 92 meter ini berupaya melakukan operasi dan rondaan selama 30 hari tanpa ulang bekal, dan mampu melaksanakan tugas mencari dan menyelamat. Selain sistem persenjataan asas, kapal ini turut dilengkapi dengan dek pendaratan helikopter.

Terdahulu, Najib merasmikan pelancaran segmen maritim Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Resort World di sini.

Beliau kemudiannya meluangkan masa kira-kira sejam mengunjungi tapak pameran yang terletak di kawasan lapang berhadapan dengan hotel itu. - UTUSAN ONLINE