Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, edisi pada tahun ini sudah mencatatkan pertambahan dari segi tapak penganjurannya dengan pertambahan sebanyak 15,000 meter persegi.

"Dan dari segi pertambahan aset (udara dan laut) yang mengambil bahagian, juga lebih besar daripada edisi yang sebelum ini," kata Hishammuddin sewaktu majlis minum petang bersama media di kapal KD Jebat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affandi Buang dan Ketua Pengarah, Agemsi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Penganjuran LIMA 2017 akan turut menyaksikan buat pertama kalinya penyertaan pesawat terbang tanpa pemandu (UAV) dan kenderaan bawah air autonomus (AUV) seperti MQ1 Predator dan MQ8 Fire Scout dari Amerika Syarikat, Fulmar UAV yang akan dioperasikan oleh APMM, AUV 62AT buatan Saab, dan AUV TBN dari Ukraine.

LIMA 2017 akan membuka tirainya esok dan pembukaannya akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datik Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN ONLINE