Ketua Pegawai Eksekutif EN Projects (M) Sdn. Bhd, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menganjurkan LIMA 19, Datuk Seri Sabri Adam berkata, kesemua slot pameran sudah habis ditempah sejak Disember lalu dan perkara itu sangat mengujakan memandangkan edisi LIMA sebelum ini hanya 70 peratus sahaja ruang pameran ditempah ketika Januari.

“Kami jangkakan jumlah penyertaan ini akan bertambah dari masa ke semasa memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan pada tahun ini.

“LIMA’19 cukup meriah memandangkan kami telah mencapai lebih dari ruang yang disasarkan sebanyak 10,100 meter persegi dan kedudukan tekini ruang yang telah ditempah sebanyak 104 peratus atau sebanyak 10,519 meter persegi,” ujarnya dalam temubual ekslusif bersama Utusan Online di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Sabri, sasaran awal untuk mencapai sebanyak 600 penyertaan syarikat mungkin tidak dapat direalisasikan berikutan penyertaan oleh syarikat-syarikat gergasi temptan dan antarabangsa yang menempah ruang lebih besar berbanding sebelum ini.

Katanya, keluasan tapak pameran yang boleh dijual amat terhad sekali gus menghadkan penglibatan daripada syarikat-syarikat lain.

“Perkara ini juga adalah kesan pengabungan lokasi pameran di mana LIMA’19 kali ini hanya akan ditumpukan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri.

“Lokasi maritim tidak di pinggirkan malah aktiviti maritim dan pameran kapal tetap di laksanakan seperti yang dirancang di Resort World Langkawi,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE