Selain nilai kontrak Kementerian Pertahanan bertambah 81 peratus atau mencecah RM3.8 bilion berbanding LIMA ‘15, jumlah pengunjung juga melebihi sasaran 140, 000 iaitu 
236,689 orang manakala pelawat perdagangan 40,280 berbanding sasaran 40,000 orang.

Pencapaian itu sudah pasti menggembirakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berkampung lima hari di pulau legenda, Langkawi bagi memastikan LIMA ‘17 menjadi penganjuran terbaik sejak kali pertama diadakan pada 1991.

Namun LIMA bukan sekadar ringgit dan sen kerana yang penting semangat untuk belajar dan menguasai teknologi baharu dan canggih.

Di LIMA, segala produk pertahanan terbaharu dan tercanggih dipamerkan untuk pelanggan di rantau ini yang sesetengahnya sedia berbelanja besar untuk meningkatkan sistem pertahanan negara.

Bagi Malaysia, perbelanjaan pertahanan perlu dilaksanakan secara berhemat terutama ketika ekonomi dunia yang agak suram.


 

Seperti kata Hishammuddin, kos pembelian sebuah jet pejuang canggih, Typhoon sama dengan sebuah universiti.

LIMA ‘17 juga mencatat sejarah apabila 600 golongan belia dibawa buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran LIMA bagi mengemukakan aspirasi mereka terhadap masa depan negara.

Aspirasi itu dikemukakan dalam program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menjadi platform untuk mereka mengemukakan sebarang cadangan berkaitan sistem pertahanan negara pada masa depan.

Bagi Hishammuddin, kedatangan ramai pempamer dan pelawat perniagaan menunjukkan penghormatan mereka terhadap kemampuan negara.

Kata beliau, kesemua pempamer akan pulang dan membawa aset mereka bersama dan yang tinggal hanya legasi.

Legasi itulah yang harus dipertahankan oleh generasi muda hari ini yang akan menentukan rupa Malaysia pada 2050.

Dialog TN50 di Langkawi sempena LIMA ‘17 sedikit melegakan Hishammuddin kerana pesertanya menunjukkan kesungguhan untuk meneruskan kecemerlangan pencapaian sekarang. - UTUSAN ONLINE