Video oleh SYEFRI MONIZ

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hukuman sebat dalam Islam itu bukan bertujuan membunuh atau menyakiti pasangan lesbian berkenaan, sebaliknya bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka berdua serta orang lain yang melihatnya.

Kata Harussani, hukuman sebat dijalankan mengikut kaedah-kaedah tertentu, antaranya ta­ngan orang yang merotan tidak diangkat terlalu tinggi, selain hanya menggunakan rotan yang hanya sederhana besar.

“Hukuman itu tidak bengis, kalau bengis dicakar dengan pencakar atau dibunuh tetapi ini pengajaran. Jadi kita kena faham dari segi hikmah undang-undang, jangan tengok dari segi hikmah politik sebab politik ini memang menyokong macam-macam.

“Tetapi undang-undang lain, undang-undang dalam Islam adalah pengajaran, itu sebab kita lihat hukuman itu disaksikan orang lain supaya mereka tidak berani nak buat dan pesalah pun tidak berani hendak ulang. Ini kerana kalau dia ulang, dia akan kena sebat lagi” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penutupan program Wacana Kesejagatan Ummah 2018 di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas me­ngenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang kini layak menerima zakat di Selangor, Harussani berkata, golongan itu diletakkan dalam kategori asnaf fisabilillah.

Kata Harussani, pemberian zakat itu bukanlah secara terus kepada golongan itu, sebaliknya diberikan untuk program pemulihan mereka

“Kita berikan supaya mereka berasa Islam ini cukup baik. Walaupun mereka ini golo­ngan macam itu, tetapi masih dibantu. Oleh itu, mereka akan lebih mendekati Islam,” katanya.