Sasaran tersebut dilihat berpotensi untuk dicapai lebih-lebih lagi apabila MAHA tidak pernah gagal menarik ramai pengunjung setiap tahun, apa lagi dengan pengenalan program baharu seperti Rhythm of The Farmers (ROTF) yang melibatkan persembahan artis-artis tempatan dan Indonesia untuk bersama-sama menghiburkan pengunjung antaranya legenda rock Ramli Sarif, Man Bai, Yazid, Shila Amzah, Wali Band, Sakura Band, Akim & The Majistret dan lain-lain.

ROTF yang diilhamkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merupakan satu konsep agrotainment baharu untuk menarik minat masyarakat kepada pertanian melalui hiburan, terutama golongan belia.

Persembahan artis-artis tersebut akan diadakan di satu cerun di kawasan berbukit di MAEPS yang dikenali sebagai D’Lereng dengan pentas dibina di kaki lereng yang akan menjadi amfiteater semulajadi untuk penonton duduk sambil menikmati persembahan.

Ekoran sambutan yang menggalakkan, penganjur menyediakan 180 kenderaan seperti bas, trem, kereta dan gerabak untuk membawa pengunjung dari tempat letak kereta ke mana-mana 20 perhentian yang ditetapkan dan dijangka membawa lebih daripada 675,000 pengunjung selama MAHA 2016 berlangusng selama 11 hari itu.

Menyedari akan rungutan pengunjung semasa MAHA lalu, penganjur sentiasa menambah baik kemudahan pengangkutan dengan yang terbaharu menyediakan motosikal beroda tiga untuk menyelesaikan isu kesesakan dan dewan pameran yang jauh dari tempat letak kereta.

Kemudahan lain yang turut disediakan termasuk lapan kaunter maklumat yang terletak di lokasi strategik, 23 surau, lebih daripada 350 gerai makanan termasuk trak makanan dan 670 tandas termasuk untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

MAHA yang diadakan setiap dua tahun itu mengetengahkan produk dan bahan pertanian terbaik negara, sekali gus menjadikannya sebagai antara ekspo pertanian dan makanan terbesar dan pertama diadakan di rantau ini.

Bermula sejak 1923, MAHA kali ini membawa tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ menekankan isu keselamatan makanan dan kedaulatan serta kesedaran berkaitan peranan besar yang dimainkan oleh sektor pertanian sebagai tulang belakang pembangunan negara yang menekankan kepentingan mempertahankan kedaulatan makanan sebagai asas kekuasaan negara.

Selain usahawan dan peniaga tempatan, MAHA 2016 juga menarik minat beberapa syarikat dari hampir 20 negara termasuk dari Fiji, Korea Selatan, Afrika Selatan, India, Jepun dan Australia untuk menyertai di bawah kluster Perdagangan Agro Antarabangsa dan Penyertaan Korporat.

Dalam pada itu, penganjuran MAHA kali ini turut disertai setiap negeri dengan mempamerkan produk negeri-negeri di Astaka Negeri masing-masing. Sebanyak 13 astaka tersebut membuat pengunjung merasa seakan-akan melawat ke negeri berkenaan.Setiap astaka mempunyai reka bentuk yang unik untuk menggambarkan identiti, kebudayaan, pameran dan makanan tempatan di negeri-negeri terbabit.

Pengunjung juga boleh menuju Laman Tiba 1 dan Laman Tiba 2 untuk mendapatkan hasil pertanian segar serta boleh membeli mengikut sukatan sebakul atau sebaldi penuh buah-buahan atau sayur-sayuran pada harga istimewa.

Pengunjung juga diminta tidak melepaskan peluang melihat demonstrasi masakan oleh selebriti yang menggoreng cempedak dalam kawah besar dan buah-buahan nadir seperti pisang seribu atau pisang batang gajah, betik renek, limau kuku harimau dan lain-lain buah-buahan yang besar.

Lebih menarik apabila durian belanda yang dikenali sebagai Fruit of the Event, tiga juta tongkol jagung dan produk berasaskan jagung juga dijual semasa acara ini.

Yang pasti tidak boleh dilepaskan adalah durian Musang King, limau bali, epal Melayu, nangka, rambutan, buah-buahan kristal dan banyak lagi yang dibawa dari seluruh negara.

Itu tidak termasuk produk tanah tinggi seperti lada benggala, kubis bulat, lobak merah, tomato dan ceri manakala produk tanah rendah seperti kacang bendi, cili merah, kacang panjang, ubi keledek ungu, labu, terung bulat, terung panjang dan kentang yang dijual dengan harga yang sangat istimewa.

MAHA 2016 turut mempromosi makanan tambahan kesihatan yang semakin mendapat pengiktirafan iaitu madu kelulut. Produk ini akan dijenamakan sebagai makanan super pertama Malaysia di peringkat antarabangsa.

MAHA kali ini turut memperkenalkan District of Malaysian Entrepreneur yang membawa 3,000 produk oleh usahawan Industri Asas Tani dari pelbagai kluster iaitu makanan, minuman, barangan beku, herba dan bahan bukan makanan dipamerkan di bawah satu kubah di khemah Marquee A dan B.