Kira-kira 17,000 kakitangan yang diberikan notis penamatan kontrak pada 16 Jun ini dilihat sebagai tempoh yang terlalu singkat.

Ini termasuklah kakitangan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara dan kakitangan lain yang terlibat.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda memberitahu, sepatutnya tempoh notis dibuat lebih lama berbanding sebulan supaya kakitangan terlibat boleh membuat persediaan awal untuk mencari pekerjaan lain.

“Terdapat kategori kakitangan kontrak dalam Kumpulan Pelaksana 1 dan 2, serta Pengurusan dan Profesional menjadi sebahagian daripada 17,000 penjawat awam terlibat.

“Kami mahu kerajaan bantu kakitangan Kumpulan Pelaksana kontrak seperti Pembantu Am Rendah (PAR), kerani dan pemandu kerana mereka hanya pekerja biasa yang tidak terlibat dengan dasar kerajaan.

“Mereka juga dilantik secara sah melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), justeru tempatkan mereka di kementerian atau agensi lain,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Cuepacs hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan supaya tempoh notis dilanjutkan sekurang-kurangnya enam bulan atau mengikut tempoh kontrak seseorang kakitangan.

“Setakat ini kami belum ada perincian mengenai tempoh kontrak kakitangan yang membuat aduan kepada Cuepacs.

“Cuma saya harapkan kerajaan supaya lanjutkan tempoh notis kepada enam bulan dan lebih baik adalah mengikut tempoh kontrak lantikan kakitangan.

“Tambahan pula, tarikh 16 Jun jatuh pada Hari Raya Aidilfitri. Jadi lebih baik tempoh notis dilanjutkan,” katanya.

Mengulas mengenai lantikan politik, Azih mmemberitahu penamatan kontrak mereka tidak boleh dipertikaikan ekoran pertukaran tampuk kepimpinan yang baharu.

“Cuepacs tidak dapat membantu, namun kami nasihatkan mereka supaya bersabar dengan dugaan yang dihadapi,” ujarnya.

Bagi kakitangan tetap yang ditutup agensinya seperti SPAD dan Jasa pula, Cuepacs meminta supaya mereka ditempatkan di kementerian dan agensi lain. - UTUSAN ONLINE