Video oleh NOR AZIAH JAAFAR

Penambahbaikan itu hanya untuk khemah jemaah Malaysia dan kerja-kerja memasang lantai jubin sudah disiapkan.

Menurut Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Muassasah Asia Tenggara bersetuju memasang lantai jubin selepas mengadakan perbincangan dengan Tabung Haji bagi menambah baik khemah di Mina.

Katanya, di Mina terdapat kira-kira 500 khemah untuk jemaah Malaysia mengandungi hampir 1,800 petak dengan setiap petak menempatkan 18 orang jemaah.

“Dulu lantai tanah kadang-kadang tidak rata dan bercampur batu serta hanya dilapik dengan permaidani untuk jemaah tidur. Sekarang sudah diratakan dan dipasang jubin serta dilapik permaidani, jadi khemah lebih bersih dan tidak berhabuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan yang dilakukan Muassasah Asia Tenggara serta Tabung Haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina menjelang masyair haji dua minggu lagi.

Bermula tahun ini, jemaah Malaysia menikmati tempoh pelepasan lebih singkat di terminal berikutan pelaksanaan program pra pelepasan dari tanah air selain penyediaan pendingin hawa di khemah-khemah di Arafah semasa wukuf.

Menurut Syed Saleh, tahun ini persiapan dilalukan lebih awal iaitu dua minggu sebelum wukuf dan beliau berpuas hati dengan perkembangannya.

Jelasnya, antara persiapan sedang dilakukan di Mina adalah membaik pulih pendingin hawa yang tidak berfungsi manakala khemah yang dipakai setahun sekali dan berhabuk sudah di­bersihkan dengan pancutan air.

Katanya, di Arafah pula alat pendingin hawa sudah dipasang di khemah-khemah, hanya menunggu proses pendawaian dilengkapkan dalam tempoh seminggu.

Di Muzdalifah pula jelasnya, proses pembersihan sedang dijalankan dan Malaysia diberi tapak yang sama iaitu paling hampir dengan sempadan Mina.

“Tapak ini paling depan dan cukup baik untuk lalu lintas ke Mina. Dengan itu pergerakan bas ke Mina lebih cepat, kerap dan mudah,” katanya. – UTUSAN