Syarikat berkenaan adalah Krishna Industrial Corporation Limited (KIC), Coimbatore Institute of Technology (CIT) dan Primainfo Technologies Sdn. Bhd.

Kerjasama itu adalah bagi membangunkan perisian yang mampu mengukuhkan perniagaan berasaskan ICT, produk dan komponen berkaitan industri itu selain berkongsi kepakaran dalam bidang berkenaan.

MoU berkenaan ditandata­ngani Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengarah Urusan KIC yang juga Pengerusi CIT, Dr. SRK Prasad serta Pengarah Urusan Primainfo Technologies Sdn. Bhd., SR Krishnan dalam satu majlis di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Utusan, Wan Hasmah Wan Ismail.

Mohd. Noordin ketika ber­ucap dalam majlis itu berkata, peluang kerjasama yang terjalin amat memanfaatkan perniagaan teras syarikat khususnya dalam mengembangkan platform ber­asaskan teknologi dan komponen berkaitan ICT termasuk membangunkan perisian serta jaringan mudah alih komunikasi.

Beliau berkata, melalui kerjasama itu, Kumpulan Utusan yakin rantaian perniagaan berasaskan media sosial dan perkhidmatan berkaitan akan membantu syarikat menjana pendapatan lebih positif dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

“Hasil kerjasama ini membuka peluang lebih luas untuk kedua-dua pihak saling melengkapi iaitu kita mendapat manfaat meliputi kepakaran dan capaian teknologi terkini internet manakala rakan kongsi pula berpeluang membina pasaran perniagaan baharu mereka di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Prasad berkata, kerjasama itu bakal membuka peluang besar bagi syarikatnya me­nerokai bidang ICT yang mempu­nyai pasaran meluas di serata dunia.

“Selain memberikan nilai tambah kepada perniagaan syarikat yang terlibat dalam pelbagai bidang ICT, aplikasi mudah alih dan minyak serta gas, ini pasti membuka peluang kami menembusi pasaran perkhidmatan ICT di Malaysia dan rantau Asia Tenggara,” ujarnya.