Video oleh MUHAMMAD ALIF OMAR

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan Tindakan Pembangunan Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2016-2025 (Blueprint 2.0).

Menurut Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Aminuddin Omar, Bukit Kayu Hitam adalah lokasi strategik untuk pelabuhan darat dan fokus pembangunan ekonomi akan meningkatkan permintaan dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata, pelaburan untuk kedua-dua projek adalah besar namun berbaloi seperti pembinaan pelabuhan darat di Bukit Kayu Hitam yang akan merentasi sehingga kawasan Chuping, Perlis.

“Rakyat seluruh negeri akan dapat faedahnya, malahan kawasan-kawasan yang terletak berhampiran seperti daerah Kubang Pasu dan Pekan Jitra pasti mendapat manfaat terbanyak.

“Peningkatan jumlah penduduk dan pertambahan taman-taman perumahan menunjukkan kemakmuran ekonomi di Jitra. Apabila projek berkenaan siap nanti, ia boleh jadi sumber ekonomi baharu kepada rakyat.

“Peluang pekerjaan dan perniagaan akan meningkat, jadi itulah aspirasi anak muda,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu dalam sidang akhbar selepas sesi dialog Chit Chat TN50: This Is Jitra di Dewan Instititut Latihan Perindustrian Jitra hari ini.

Turut hadir ialah Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah, Prof. Madya Dr. Shaiful Annuar Khalid serta bintang bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa Falsafah dan Tamadun, Universiti Utara Malaysia, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri sebagai pemudah cara.

Lebih 500 peserta mewakili tujuh institusi pengajian tinggi serta 20 jabatan dan agensi kerajaan dalam daerah Kubang Pasu hadir dan menyuarakan aspirasi mereka sebagai belia dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Selaku moderator, Ahmad Zaharuddin Sani berkata, sesi dialog Chit Chat TN50, kebanyakan peserta yang hadir menyuarakan aspirasi mereka terutama dalam hal berkaitan peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Apa yang hendak disampaikan kepada pemimpin mereka dalam dialog ini terluah kerana TN50 dirangka khas untuk golongan belia pada hari ini kerana mereka yang akan membentuk kepimpinan negara pada 2050 nanti.

“Justeru, dialog ini adalah medium yang terbaik untuk mereka luahkan pandangan. Berbanding dalam media sosial, sesi dialog sebegini membenarkan aspirasi mereka disampaikan terus kepada pemimpin,” ujarnya kepada Utusan Online selepas mengendalikan Chit Chat TN50: This Is Jitra. - UTUSAN ONLINE

Video oleh Institut Pemikiran Doktor Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM)