Tinjauan Utusan Online di Masjid Al Ansar, Taman Keramat mendapati para jemaah terpaksa beratur panjang untuk menggunakan air kolah yang ditakung bagi mengambil wuduk.

Selain itu, Utusan Online turut mendapati terdapat beberapa jemaah yang hadir sekadar menggunakan air mineral bagi menyempurnakan proses berwuduk.

Ujar Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Guriman Shazaman, 76, keadaan ini bukan sahaja menyukarkan para jemaah untuk berwuduk malah tandas juga terpaksa ditutup sementara.

“Sudah empat hari tiada air di kawasan ini. Mujur pihak pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) datang mengisi air di masjid ini.

“Namun demikian, walaupun sebanyak dua tangki besar diisi air setiap hari di sini, ia masih tidak mampu menampung jumlah penggunaannya dalam kalangan para jemaah,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE