Video oleh ASWAD YAHYA

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, berdasarkan takwim tersebut, sesi persekolahan akan bermula pada 1 Januari 2018 bagi kumpulan A yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.

Ujarnya, negeri-negeri lain di bawah Kumpulan B akan memulakan sesi persekolahan pada 2 Januari.

"Kita merancang dan menetapkan tarikh-tarikh bagi penggal persekolahan 2018 berdasarkan maklumat yang dibekalkan Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri berkaitan hari kelepasan am Persekutuan dan negeri.

"Selain itu, KPM turut mengambil kira cadangan dan pandangan melalui perbincangan bersama kesatuan dan persatuan guru, Jabatan Pendidikan negeri dan kementerian yang berkaitan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Amin, takwim berkenaan juga mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Peraturan-peraturan Pendidikan (penggal, hari dan cuti persekolahan).

Katanya, akta itu juga menetapkan hari persekolahan setiap tahun tidak kurang daripada 190 hari.

"Sebagai contoh, minimum hari persekolahan ditetapkan oleh kementerian pada 2018 bagi Johor adalah 197 hari, Negeri Sembilan (198 hari) dan Selangor (199).

"Jumlah minimum hari persekolahan berbeza mengikut negeri setelah mengambil kira pelepasan am Persekutuan dan negeri terlibat," jelasnya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang KPM, www.moe.gov.my bagi mendapat maklumat mengenai takwim penggal persekolahan tersebut. - UTUSAN ONLINE