SALASIAH SHAARI
SALASIAH SHAARI

Ini bagi memastikan masalah pencerobohan dan pendudukan warga asing di unit-unit yang dikhususkan untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah itu dapat dielakkan daripada berulang selain membolehkan rumah-rumah yang disewakan secara haram itu diberikan kepada rakyat tempatan yang lebih memerlukan.

Penduduk PPPR tersebut yang ditemui Utusan Online memberitahu, warga asing memenuhi unit-unit ppr berkenaan atas tawaran pemilik yang tidak lagi tinggal di situ tetapi enggan melepaskan rumah yang boleh dimiliki melalui kaedah sewa beli tersebut.

Menurut seorang penduduk, Salasiah Shaari, sejak 13 tahun tinggal di perumahan berkenaan dia mendapati bahawa isu warga asing yang mendiami unit-unit di PPR berkenaan merupakan satu masalah yang tidak berkesudahan.

“Mereka tinggal di sini kerana terdapat banyak unit-unit kosong. Kekosongan itu disebabkan pemilik asalnya sudah berpindah, tetapi ada juga unit yang memang langsung tidak pernah dihuni yang dicerobohi oleh warga-warga asing itu.

“Warga-warga asing ini mendapat tahu mengenai unit-unit kosong itu daripada penduduk di sini yang menyampaikan maklumat tersebut kerana mahu menyewakannya kepada mereka,” dakwa wanita berusia 64 tahun itu.

Salasiah menyatakan, walaupun pada hujung minggu lepas pihak berkuasa telah melakukan serbuan dan menangkap warga-warga asing berkenaan, keadaan itu diyakininya pasti berulang jika pihak KPKT tidak menyemak kembali dan memutihkan senarai pemilik yang diberikan unit rumah PPR berkenaan.

Katanya, banyak unit kosong terdapat di situ yang tidak diketahui sama ada mempunyai pemilik atau tidak dan jika dibiarkan berterusan begitu, rumah-rumah berkenaan pastinya akan kembali didiami oleh warga asing.

Selain itu, penduduk di kawasan perumahan itu juga mahukan pihak kementerian terbabit segera menyelesaikan proses dokumentasi pemilikan bagi mereka yang terpilih untuk memiliki unit-unit kosong berkenaan.

IDA
IDA

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ida memberitahu, kelewatan proses dokumentasi itu menyebabkan mereka sukar untuk membuat permohonan untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air.

Dia yang telah tinggal di situ sejak setahun lalu berkata, kelewatan mengeluarkan surat tawaran pemilikan itu juga menyebabkan ramai yang layak dan telah melalui proses pengundian pemilikan tidak dapat menduduki unit-unit kosong di PPR tersebut.

Tambahnya, keadaan itu dan membuka ruang kepada warga asing menceroboh serta mendiami unit-unit berkenaan.

“Macam saya sendiri, permohonan telah setahun dibuat, tetapi surat tawaran pemilikan masih tidak diberikan. Saya sudah banyak kali berjumpa dengan pihak kementerian tetapi sehingga kini masih tiada keputusan.

“Saya tinggal di sini kerana amat memerlukan rumah memandangkan anak-anak masih bersekolah. Daripada dibiarkan kosong baik saya menghuninya sementara menantikan surat tawaran pemilikan dikeluarkan,” jelas beliau.

Isu warga asing memenuhi unit-unit rumah PPR Lembah subang ini kembali timbul selepas didedahkan oleh seorang netizen, Zainurizzaman Muharram melalui laman Facebooknya minggu lepas.

Beliau ketika dihubungi Utusan Online, memberitahu, perkara itu disedari sewaktu melakukan tinjauan ke Blok E PPR berkenaan bagi membantu sebuah keluarga gelandangan mencari unit kosong untuk dipohon pada 28 Ogos lalu.

Tinjauan itu dibuat selepas dimaklumkan petugas di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha semua permohonan rumah rakyat telah dibekukan dan tiada unit kosong untuk diberikan kepada keluarga berkenaan. - UTUSAN ONLINE