Video oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB

Naib Presiden Pemasaran Perhiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, semua motosikal yang terlibat di dalam konvoi itu diisi dengan minyak pelincir Petronas Sprinta with UltraFlex yang akan dilancarkan di Thailand pada Khamis ini.

“Thailand mempunyai pasaran pengguna motosikal yang besar, justeru kita percaya mutu minyak pelincir Petronas Sprinta akan mampu memberikan manfaat kepada pengguna motosikal di sana.

“Diharapkan para peserta konvoi ini akan dapat merasai sendiri kesan dan kebaikan Petronas Sprinta dan seterusnya menceritakan pengalaman perjalanan lancar yang mereka alami kepada pengguna motosikal lain di Thailand nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelepasan bendera konvoi UltraFlex Experience to Believe di Stesen Petronas Taman Teknologi Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Datuk Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pe­tronas Lubricants International Sdn. Bhd. (PLI), Giuseppe D’Arrigo dan Ketua Rantau Asia Pasifik PLI, Mohd. Khalid Mohd. Latiff.

Tambah Zainal Abidin, minyak pelincir Petronas sememangnya tidak terhad untuk pasaran Malaysia sahaja, sebaliknya telah menembusi pasaran global.

“Setakat ini, minyak pelincir Petronas sudah berada di 100 buah negara. Kita akan sentiasa melakukan kerja promosi untuk memperkenalkan produk baharu. Contohnya esok kita akan melancarkan minyak Petronas Syntium dengan gred lebih tinggi untuk pasaran China,” katanya.

Konvoi UltraFlex Experience to Believe yang disertai oleh 45 penunggang motosikal diketuai Mohd. Khalid itu akan turut di­sertai 100 lagi penunggang apabila tiba di Hatyai sebelum menuju ke Phuket Bike Week 2018 yang dijangka menarik kira-kira 10,000 penunggang dari seluruh Asia.