Video berdurasi lima minit itu memperlihatkan Siti Aishah menyampaikan cerita mengenai sirah Nabi dengan bersahaja sekaligus melayakkannya memenangi pertandingan cerita peringkat kebangsaan kategori pendidikan khas.

Malah, video tersebut menerima lebih 238 perkongsian serta ditonton lebih 100,000 pelayar media sosial.

Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas Program Pendidikan Integrasi Sekolah Kebangsaan Taman Rakan (SKTR), Noor Azliza Abd Rahim, bakat kanak-kanak istemewa itu dikesan menerusi program sekolah dan kepetahannya membuatkan dia dipilih untuk mewakili sekolah.

“Dia pertama kali menyertai pertandingan seperti ini dan pengusaannya terhadap 3M iaitu, membaca, menulis dan mengira membuatkan kami melatihnya untuk menyertai pertandingan itu.

“Sebenarnya kekurangannya itulah sebenarnya keistemewaannya kerana itulah kita mahu ketengahkan kanak-kanak seperti ini,” ujarnya kepada Utusan Online hari ini.

Sementara itu, rata-rata pelayar media sosial menyifatkan Siti Aishah sebagai seorang yang cekal dan tidak membataskan dirinya walaupun mempunyai kekurangan fizikal.

Pengguna Facebook, Afirus Ledang’s memberitahu Siti Aishah mampu menjadi inspirasi kepada kanak-kanak lain yang menerima senasib dengannya.

“Video seperti ini tidak ramai pula yang ingin komen padahal video ini mampu dijadikan inspirasi untuk sesiapa yang mempunyai anak istemewa sepertinya,” ujarnya..

Sementara itu, pelayar Facebook, Ashila Mat Rajab Ashila pula menyifatkan keistemewaan yang ada padanya tidak menghalangnya untuk berdepan dengan orang ramai selain meunjukkan kebolehannya.

“Serba kekurangan namun bukan halangan bagi dia,” ujarnya.

Manakala, Haffizah Hanaffi menerusi laman Facebooknya mengharap agar kanak-kanak istemewa yang lain dapat diberi peluang yang sama seperti kanak-kanak lain dan tidak menilai kebolehan mereka.

Sementara menerusi laman Facebook sekolah Siti Aishah, Sekolah Kebangsaan Taman Rakan (SKTR) turut memaparkan gambar kemenangannya selain ucapan tahniah daripada pihak sekolah dan pengikut laman sekolah itu.-UTUSAN ONLINE