Terbaharu didedahkan adalah kes melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berkhatan menggunakan kaedah gunting.

Bapa kepada kanak-kanak tersebut, Aliakbar Pakkeer Mohamed, 40, berkata, doktor di klinik swasta tersebut didapati telah terpotong keseluruhan kepala kemaluan anaknya itu semasa berkhatan sebelum bertindak menjahit semula bahagian tersebut.

Katanya, doktor berkenaan telah memintanya untuk menghantar anaknya itu ke sebuah hospital swasta sebelum membawanya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Sepatutnya doktor tersebut perlu bertindak dengan cepat selepas kecuaian itu tetapi mereka gagal. Saya tidak mahu anak saya menjadi cacat dan mahu dia hidup normal kembali.

“Saya tidak boleh terima perkara ini kerana berkhatan ini merupakan perkara biasa,” katanya kepada pemberita di HKL di sini hari ini.

Yang turut hadir peguam, P. Uthayakumar yang mewakili keluarga kanak-kanak tersebut.

Pada 20 Disember lalu, kepala kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan terpotong ketika berkhatan menggunakan pembedahan laser di sebuah klinik keluarga di Cheras di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa telah dibawa bapanya yang berusia 47 tahun untuk dikhatankan namun ketika proses itu berjalan, doktor berkenaan memaklumkan bahawa kemaluan mangsa terpotong secara tidak sengaja.

Sementara itu, Aliakhbar memberitahu, beliau sedang menunggu laporan perubatan dari HKL sebelum mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.

Pada masa ini, katanya, pihak HKL memaklumkan proses rawatan anaknya perlu mengambil masa yang lama untuk sembuh.

“Bagaimanapun, kita minta jika boleh anak saya ini mendapatkan rawatan di luar negara dan saya berharap agar pihak hospital dapat menanggung kos rawatan di luar negara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada kanak-kanak tersebut, Rodziah Abdul Razak, 35, berkata, anaknya ketika ini berada dalam keadaan stabil tanpa mengetahui nasib yang sedang dialaminya.

“Anak saya ada bertanya, kenapa orang lain sekejap sahaja buat (berkhatan), tetapi kenapa kita kena pergi hospital dan saya sendiri tak tahu nak jawab macam mana kepadanya,” katanya.