Berbeza dengan laluan sebelum in SBK laluan Kajang sepanjang 51 kilometer (km) melibatkan laluan bawah tanah sejauh 9.5 km yang melalui tujuh stesen seperi Muzium Negara, Pasar Seni, Stadium Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange, Cochrane dan Maluri.

Sebab itu aspek keselamatan menjadi keutamaan supaya apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku pihak pengurusan MRT akan mempunyia pelan segera dalam memastikan keselamatan penumpang.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan mengadakan latihan kecemasan secara bersama sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan khususnya kejadian kecemasan di dalam terowong.

“Latihan ini penting bagi memberi pendedahan kepada kakitangan untuk menangani sebarang kemungkinan dan sentiasa bersiap sedia memberikan tindakan segera dalam aspek keselamatan pengguna jika berlaku sebarang kejadian kecemasan.

“Di samping itu, kami turut menguji kesiapsediaan peralatan serta jalinan kerjasama antara agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan lain-lain dalam menangani sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat kepada peserta latihan menyelamat bawah tanah MRT di Stesen Tun Razak Exchange hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini.

Mengulas lanjut, Zohari berkata, latihan menyelamat itu selaras dengan keperluan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan beberapa agensi lain yang turut menilai bagaimana tindakan MRT dalam menangani sebarang situasi kecemasan yang berlaku.

“Segala bentuk tindakan terutama masa yang diambil bagi menguruskan insiden kemalangan dan sebagainya akan dicatatkan untuk melihat sejauh mana kami bertindak terhadap situasi yang ada.

“Contohnya, seperti latihan ini apabila sebuah tren mengalamai kegelinciran. Apabila wujud kemalangan dan kebakaran, apa pelan tindakan yang akan diambil bagi menyelamatkan nyawa penumpang yang terlibat,” ujarnya.

Fasa pertama Laluan SBK dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan telah mula beroperasi pada Disember lalu sementara fasa kedua sejauh 30 km yang akan melalui 19 stesen ke Kajang dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Julai ini. - UTUSAN ONLINE