Sambil menegaskan penubuhan tersebut tidak melibatkan sebarang pindaan akta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penubuhan mahkamah tersebut hanya akan melibatkan soal pentadbiran.

“Mahkamah khas yang diisytihar ini hanya mengenai pentadbiran dan tidak memerlukan sebarang pindaan sama ada melibatkan akta atau undang-undang.



“Sebaliknya ia hanya melibatkan pengkhususan hakim dan dewan mahkamah untuk melancarkan operasi tersebut,” katanya ketika sidang akhbar selepas maj­lis pengisytiharan penubuhan mahkamah khas tersebut di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun serta Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Difahamkan, 23 penjawatan baharu akan diwujudkan melibatkan hakim serta pegawai untuk melancarkan operasi mahkamah khas itu.

Jelas Jamil Khir, mahkamah sama ada syariah atau sivil berperanan memberikan keadilan serta menjadi tempat untuk memutuskan pertikaian sesama manusia.

“Buat masa ini, Wilayah Persekutuan merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah, selepas ini mungkin ia akan ditubuhkan di negeri-negeri lain bergantung kepada keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani menjelaskan, penubuhan mahkamah tersebut memberikan sinar baharu kepada golongan wanita terutama apabila mereka menghadapi masalah penangguhan kes penceraian.

‘‘Sebelum ini banyak kes penceraian tertangguh sehingga memberi kesan kepada hak penjagaan anak-anak.

‘‘Saya harap selepas ini ada negeri-negeri lain menubuhkan mahkamah ini sekaligus melancarkan urusan sekiranya berlaku penceraian,’’ katanya.