Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, de­legasi Mauritius yang diketuai Menteri Perniagaan, Perusahaan dan Koperasinya, Soomilduth Bholah hari ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam aspek pengurusan koperasi negara itu yang dikenali sebagai Koperasi Apex.

Ujar beliau, kumpulan ber­kenaan akan menghantar 12 pegawai termasuk beberapa pengarah Koperasi Apex bermula tahun hadapan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan latihan daripada Angkasa.

“Kita sedia memberi kepakaran dan khidmat nasihat kepada negara berkenaan berikutan mereka baru mewujudkan badan tertinggi koperasi. Mereka akan diberi latihan kira-kira dua minggu di sini supaya pe­ngalaman yang diperoleh dapat dilaksanakan di Mauritius.


Video Oleh NUR AZREEN ARIFIN dan ZUHAYATI YAZID
“Kerjasama ini juga akan turut memberi manfaat kepada Angkasa kerana dapat meluaskan rangkaian, selain meneroka peluang perniagaan di negara berkenaan yang ter­kenal sebagai pulau perikanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi kunjungan hormat dan perbincangan dengan Soomilduth dekat sini.

Menurut Abdul Fattah, selain perdagangan, kerjasama tersebut juga dilihat akan me­rancakkan industri pelancongan kedua-dua negara serta meningkatkan eksport produk makanan tempatan ke Mauritius.

Sementara itu Soomilduth memberitahu, hasrat kerjasama dengan Angkasa disebabkan kebolehan serta kemahirannya dalam memperluaskan jari­ngan perniagaan dan memajukan koperasi di peringkat antarabangsa.

Ujar beliau, pihaknya juga telah memohon untuk me­ning­katkan import produk makanan dari Malaysia dan berharap melalui usaha itu, industri perikanan serta pelancongan Mauritius dapat diper­tingkatkan.

Mauritius mempunyai 1,200 koperasi dan menyumbang 50 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).